19/12/2015
Mama, perancangan abah dah betul, abah akan discharge mama dan terus bawa ke Mekah seperti mana permintaan mama sebaik mama dah stabil. Namun, ketentuan Allah lagi bijaksana, walaupun abah dah tandatangan borang discharge yang diberi oleh doktor, mama terpaksa ditahan lagi memandangkan tahap kesihatan mama perlukan oksigen. Abah batalkan surat yang telah ditandatangan. Mama dikembalikan ke wad ICU. Mama mungkin tak tahu betapa peritnya hati dan semangat abah tika itu. Abah terpaksa tinggalkan mama di situ kerana peraturan hospital, tapi mama sedar yang abah dah minta kebenaran mama untuk keluar dari hospital dan pagi esok abah akan ke Mekah untuk mengambil barangan kita, mama mengangguk bersetuju. Dan abah terus berjalan kaki seperti selalunya ke Masjid Nabawi untuk terus memohon kepada Allah SWT agar kembalikan mamaku seperti sebelumnya. Allah mendengar, namun abah tak tahu perancanganNya. Hanya Allah yang maha mengetahui ketentuan.
Khamis pagi-pagi abah dah bertolak ke Mekah dengan harapan dapat kembali ke Madinah esok bersama dengan barangan kita dan abah dapat bersama mama sehingga mama pulih dan terbang p**ang terus yang mana tiket telah ditempah oleh anak-anak kita. Besarnya hikmah Allah SWT. Allah tahu bahawa setiap detik abah memohon kepadaNya untuk kesihatan mama. Setiap tempat mustajab, di situlah abah memohon dengan khusyuknya. Di bawah Cucuran Emas, di makam Ibrahim, dan di Multazam. Abah tidak lupa Umrah untuk mama. InsyaAllah, Allah akan perkenan kerja yang abah lakukan itu.
Malam jumaat tu juga, semasa dalam masjidil haram, Allah memberi ilham agar abah memaafkan seikhlas-ikhlasnya apa sahaja kesalahan dan dosa mama kepada abah serta menghalalkan segalanya sejak tiga puluh dua tahun. Masa tu, airmata lelaki abah mengalir lagi tapi tidak seperti hari hari sebelum ini. Kali ni rasa macam tersedu sedu dan amat hibanya. Walaupun sebelum berangkat kita dah saling memaaf terutama selepas kita solat hajat di rumah Abe. Mama peluk abah dengan tangisan memohon maaf, abah pun sama.
Dengan ikhlas dan bersungguh sungguh, abah memaafkan segala segalanya bersaksikan para malaikat di hadapan Kaabah.
Sepatutnya abah dah boleh bertolak berjumpa mama di Madinah selepas solat Jumaat di Masjidil Haram. Ketentuan Allah SWT tidak dapat dihalang. Abah tidak dapat keluar bersama barangan dari hotel, juga peraturan ditetapkan oleh muasasah. Perlu keluar bersama dengan kump**an rombongan esoknya yang mana sepatutnya kita akan berangkat p**ang. Setelah berbincang, dengan mutawif, dengan anak anak melalui telefon, abah bersetuju keluar pagi Sabtu dan terus ke Madinah, mereka semua ke Jeddah sebaik selesai tawaf wida'.
Selesai solat Subuh, abah lakukan tawaf ucapan selamat tinggal, abah keluarkan barangan dan bertolak ke setesyen bas untuk ke Madinah menemui mama. Perjalanan yang agak panjang memakan masa enam jam. Kami berhenti solat Zohor di hentian rehat. Abah sampai di Madinah dah hampir waktu Asar. Abah ke masjid Nabawi terlebih dahulu untuk untuk solat Asar sambil menunggu pukul empat waktu lawatan di buka.
Where is my wife? Sebaik melihat mama tiada di katil. Yesterday. Nobody call you? Kata misi bertugas. Mama....mama, mama tinggalkan abah. Abah rasa ingin meraung sekuat kuatnya, tapi abah mengucap kalimah Allah banyak banyak untuk menerima hakikat. Misi menyerahkan pakaian mama yang mama pakai, sebelah subang telinga di mana sebelah lagi abah simpan sebaik ianya terjatuh atas katil pada hari Rabu, dan pakaian yang abah beli untuk membawa mama terus ke Mekah sebaik discharge. Masa tu baru abah boleh terima bahawa mama betul betul menemui Illahi.
Abah telefon Aimi menyampaikan berita mama dah tinggalkan abah. Sebak hati abah diluahkan kepada Aimi dan Abe mewakili adik adik dan keluarga di tanah air. Abah menangis semahunya di luar hospital, Aimi juga, Abe pun melalui telefon sambil mereka cuba menenangkan abah. Abah masih ingat. Mi, terimalah hakikat bahawa mama akan tinggalkan kita atau pulih seperti asal. Itulah yang abah perkata kepada Aimi dan Abe sehari dua sebelum betul betul mama tinggalkan kami.
Mama sempat bercakap dengan Anis, Ain melalui telefon bila dia kata teringatnya adik Ain, macam adik memanggil manggil mama. Abah telefon nombor Anis sebaik mama selesai makan buah yang abah beli di kawasan masjid Nabawi. Talian tidak begitu jelas, komen mama. Mama dah sihat betul ni, esok abah boleh minta discharge dan kita terus ke Mekah. Naknya tengok Kaabah, abah bawa mama yer. Abah begitu yakin bahawa esok mama dapat melihat Kaabah dan menyempurnakan kerja umrah. Mama, kita hanya merancang, Allah yang tentukan. Abah dah rancang untuk membantu mama melakukan tawaf, saei, dan bertahlul. Jika mama tak mampu berjalan, abah akan guna kerusi roda.
Terasa gelita jalan yang nak dilalui mencari bantuan urusan selepas kematian. Kekuasaan Allah SWT, Dia menyegarkan otak dan minda abah apa yang perlu dilakukan seterusnya terutama di negara orang, tiada sanak saudara, sahabat handai. Sebenarnya Allah telah mengutuskan ustaz Mustaqim yang sering membantu abah bila mana abah berada di Mekah. Dialah selalu melawat mama di hospital dan menyampaikan status. Malangnya, pada hari kepergian mama, dia menduduki kertas peperiksaan di Universiti Madinah.
Ustaz, isteri saya dah tak ada. Ustaz boleh datang di tempat saya sebab hospital memerlukan orang yang boleh berbahasa Arab. Inilah yang dikatakan kerja Allah SWT, ustaz Mustaqim meninggalkan anaknya yang kurang sihat untuk membantu dari pengurusan hospital, urusan dengan muasasah arab, urusan jenazah, urusan solat jenazah, dan urusan pengebumian selepas solat Subuh. Hanya Allah membalas jasa mu ustaz Mustaqim.
Mama, besarnya kekuasaan Allah SWT. Abah dipanggil oleh orang Arab yang berada di dalam kubur mama sebaik dia melihat kelibat abah di celah orang ramai yang membantu mengusung jenazah mama. Abah terus turun, dan kami berdua uruskan bahagian dalam serta menyambut jasad mama yang dibantu oleh mereka yang di atas. Mama, itulah pelukan terakhir abah untuk mama. Tapi kasih sayang abah tidak berakhir, moga kita dipertemukan di syurga.
Mama, andai abah tidak dilarang keluar dari hotel pada hari semalam, dan bertolak selepas solat Jumaat di Masjidil Haram, juga tidak berkesempatan, yang mana mungkin abah akan sampai di Madinah jam sebelas malam, sedangkan mama meninggal jam empat petang waktu Madinah. Kesemuanya ketentuan Allah SWT abah tidak bersama mama pada saat saat akhir hayat, begitu juga semasa arwah nenek abah, mek abah. Moga mama sempat mengampunkan dosa dosa abah, menghalalkan segalanya dalam masa kita hidup bersama.
Mama, kini dah setahun mama meninggalkan kami. Rindu kami tiada galang gantinya. Hari kelahiran kita di dunia, hari ulangtahun perkahwinan kita pada dua puluh haribulan Disember dan tarikh kepergian mama pada sembilan belas Disember, semua ketetapan Illahi. Dan Allah memilih mama disemadikan di perkuburan Baqi' bersama para solehah. Itulah hadiah untuk mama yang tiada tolok bandingnya. Kata kata Allah itu benar, janjiNya juga benar. Abah tahu mengapa mama dipilih. Mama menjaga mak dengan ikhlas. Mama menjaga nenek saudara sehingga akhir hayatnya juga dengan jujur dan ikhlas.
Abe dan Aimi banyak sekali cuba menenangkan jiwa abah yang kosong tanpa mama. Mereka menawarkan abah supaya tinggal lebih lama di Madinah, seminggu atau lebih jika abah mahu. Abah menolak, memikirkan beberapa perkara negatif. Keputusan abah, meninggalkan mama di bumi Rasulullah SAW dan abah p**ang bersendirian esoknya. Jiwa dan perasaan abah masih di sana. Selalu abah berdoa agar abah dapat menziarahi makam mama dan mengulangi ibadah umrah lagi atau haji.
Kini, entah bila giliran abah p**a. Kita yang hidup mesti mati. Abah juga redha dan bersyukur jika Allah tetapkan kubur abah juga di Baqi'. Abah masih ingat kata kata ustaz Mustaqim semasa abah dalam keadaan hiba, bahawa kubur Baqi' adalah yang pertama akan dibangkitkan selepas Rasulullah SAW, Abu Bakar, dan Umar. Semuanya akan mendapat syafaat Rasulullah SAW.
Allah menguji lagi kekuatan semangat abah bila p**ang. Walaupun kep**angan disambut oleh anak anak, namun senyum dan tawa abah terasa macam hambar seperti sebuah lakonan. Abah masih mencari cari mama di setiap sudut. Kesihatan abah menurun tanpa diminta. Di kampung, banjir melanda dengan hebatnya dan menjadi satu sejarah baru. Premis kita turut ditenggelami walau kediaman kita selamat. Kita kerugian puluhan ribu, tapi abah redha. Abah kehilangan mama, juga abah redha. Ramai yang mengucap takziah atas kepergian mama.
Semua sayangkan mama. Ramai juga menitis airmata terutama yang begitu rapat dengan mama, dan mereka bercerita jasa dan kebaikan mama. Betul, mama memang terbaik. Abah akui. Anak anak, saudara mara pun kata begitu. Tak payah mama ragui tentang kasih sayang anak anak terhadap mama. Mereka selalu sedekahkan Al Fatihah dan surah Yasin kepada mama. Bayangan mama seringkali muncul bila tiba pada ayat yang mama membetulkan sebutan semasa abah membaca Yasin terutama malam Jumaat. Itulah hadiah paling berharga untuk abah.
Mama, sebelum kepergian mama, tiada satu petanda pun yang menunjukkan mama akan meninggalkan kami. Begitu jahilnya abah. Tapi, kita juga sering bergurau bahawa kita akan mati di Mekah. Mama sering meluahkan, abah pun sama. Itulah tanda kasih sayang kita, rela dan mahu pergi bersama. Hanya Allah sahaja yang tahu, Dia telah catatkan dalam Luh Mahfuh abah dan mama. Mama yang dijemput dulu dan ditempatkan di bumi anbia. Rezeki dan anugerah ini belum ada dalam keluarga kita. Mama, kau paling istemewa.
Bila kami mengimbas hari hari sebelum keberangkatan kita ke tanah suci, di sinilah kita menemui beberapa tanda yang mama akan meninggalkan kita. Beberapa keping gambar menunjukkan tanda itu yang susah abah nak huraikan. Sebenarnya, Allah SWT telah pancarkan. Namun kita jahil. Mama, tenanglah roh mama di alam sana. Mak mama telah menyusuli mama setelah lapan bulan mama meninggalkannya. Sayangnya abah tidak dapat mentafsir kerja kerja Allah SWT, rahsiaNya, catatanNya. Hanya abah perlu bersedia menghadapi saat itu, mungkin bila bila masa dari saat ini. Yang pasti, abah juga akan menyusuli bila dijemput.
Rahsia Allah SWT amat rahsia. Mama pergi tanpa sepatah pun pesanan untuk kami semua, sebab mama pun tak tahu bahawa Allah telah tetapkan. Kami redha. Aimi telah selongkar beberapa bahagian dan sekelumitnya abah yang cari. Kami ketemui dan telah diselesaikan. Moga roh mama tenang di sana.
Mama, emak begitu tabah bila diberitahu. Dia semestinya terharu dengan berita ini, tapi dia luahkan kesyukuran kerana mama disemadikan di tanah haram, tanah para para anbia. Di mana semua muslimin dan muslimat memohon untuk bersemadi di situ. Mama, istimewanya tempat jasad mama dikebumikan. Abah sempat melihat wajah mama kali terakhir bila mana ikatan kain kafan dibuka sebelum jenazah mama dihadapkan ke arah kiblat di liang lahad dan ditutup dengan bata bata tanah. Abah terpaksa tinggalkan jenazah mama dan naik ke atas kuburan, lalu mereka menimbuskannya. Mereka semua meninggalkan mama, namun abah masih berat kaki dan sempat menghadiahkan Al Fatihah untuk mama.
Niat dan cita cita abah untuk menziarahi mama terus segar, namun belum ditakdirkan. Bukan abah gagal. Abah terus berusaha. Jika Allah mengizinkan dan menjemput, sedetik pun abah akan sampai. Lalu, jika Allah menghadiahkan abah bersemadi di sana bersama satu tanah dengan mama, amat amat abah bersyukur. Doakan untuk abah, mama.
Catatan setahun kepergian mama Rahimah tersayang. Al Fatihah.